MENJELANG saingan Hoki FIH Piala Dunia Remaja Malaysia 2023, skuad remaja lelaki negara bukan lagi pasukan yang mentah dan miliki ramuan untuk menampilkan kejutan pada saingan yang akan membuka tirainya 5 hingga 16 Disember depan.

Kapten Young Tigers, Muhamad Faris Harizan berkata, mereka bersedia menghadapi cabaran getir dalam kumpulan A yang diperkuat juara bertahan, Argentina, Australia dan Chile.

Kapten Muhamad Faris Harizan berpengalaman memimpin pasukan remaja.

“Sekarang, masing-masing sudah sedar tahap antarabangsa, nak main macam mana, dari segi fizikal bagaimana dan apakah caranya bermain di tahap tinggi seperti ini, kami memang perlu bersedia dari awal,” kata Faris.

Pada Oktober tahun lalu, ketua jurulatih hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menyifatkan skuad bimbingannya kurang berpengalaman dan kekurangan  perlawanan antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN : Kurang perlawanan antarabangsa antara faktor pemain remaja hoki negara ketinggalan.

Mengulas mengenai undian kumpulan A itu, Faris berkata: “Untuk saya… tempoh beberapa bulan yang ada ini, adalah peluang buat pasukan memperbaiki kelemahan yang masih ada dalam pasukan terutamanya yang jelas kelihatan di Kejohanan Piala Remaja Asia.

Skuad remaja bimbingan Muhamad Amin Rahim tampak lebih berkeyakinan.

“Beberapa bulan ini, kami pasti akan meningkatkan mutu permainan dan mengatasi setiap kelemahan.”

Keyakinan tinggi disuarakannya itu dilandaskan kepada pengalamannya yang pernah beraksi di Piala Dunia Remaja 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India yang menyaksikan skuad remaja negara menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

Faris turut yakin dengan pengalamannya dan dua lagi rakan, Alfarico Lanc Liau Jr (tengah) dan Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul (penyerang) yang berada dalam skuad Piala Dunia Remaja 2021 pasti dapat membantu skuad kali ini mencapai sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu ke separuh akhir.

Memenangi pingat emas di Sukan Sea Kemboja, pentas perlawanan di peringkat senio turut membantu menaikkan semangat pemain remaja negara.

“Saya rasa, ketiga-tiga pasukan lawan dalam kumpulan A, cukup mencabar, tapi pasukan kita juga bukan biasa-biasa.

“Argentina sudah tentu bagus dengan status juara bertahan, Australia juga bagus tapi kita selalu bertemu mereka dan kenal corak permainan kerana sering mengadakan perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Chile juga, kita pernah satu kumpulan dengan dengan kita pada edisi lalu,” kata pemain tengah berusia 21 tahun itu.

Tambah Faris, pengalaman Shahmie Irfan Suhaimi, 20, yang kini bersama skuad senior dan berpengalaman di Piala Dunia baru-baru ini, pasti turut menyuntik semangat sepasukan.