KAPTEN Papua New Guinea, Raymond Gunemba menilai aksi persahabatan malam esok bertemu Malaysia menjadi satu perlawanan yang sukar.
Penyerang veteran berusia 37 tahun itu yang berada dalam skuad menewaskan Malaysia 2-0 pada tahun 2016 percaya pertembungan kali ini juga berbeza.
“Kami miliki campuran pemain senior dan muda tetapi mereka menggemari corak kendalian jurulatih yang diterapkan. Satu-satunya masalah kami hadapi apabila kita berukuran saiz kecil namun kami sangat pantas.
“Pun begitu, saya yakin dengan kualiti rakan sepasukan dan akan bagi yang terbaik pada malam esok,” katanya dalam sidang media di Kuala Nerus pada Isnin.
Sementara itu, ketua jurulatih Kapuls, Harrison Kamake tetap menghormati pasukan Malaysia kerana tahu dibarisi sejumlah pemain berkualiti termasuk kapten, Faisal Halim yang bakal menghadirkan ancaman ngeri di depan gawang gol.
Menjelang pertembungan malam esok, Papua New Guinea pastinya mengintai untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri selepas menikmati prestasi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.
Pasukan benua Ocenia itu sebelum ini mencatat dua kemenangan dan dua seri sejak kali terakhir tewas pada November tahun lepas.