KARAKTER dan pencapaian gemilang diraih Datuk Ong Kim Swee antara penyebab utama pemain baharu Sabah FC, S. Kumaahran menyertai The Rhinos musim ini.

Selain itu, Kumaahran juga pernah beraksi di bawah bimbingan Kim Swee bersama Harimau Muda pada 2015 yang secara tidak langsung memahami kehendak yang diperlukan bekas pengendali skuad Bawah 23 tahun negara itu.

“Saya dah biasa dengan beliau (OKS) sebab sebelum ini dah bersama-sama dalam Harimau Muda, jadi saya tahu bagaimana gaya dan pembawakannya di atas padang.

“Sebab itu saya rasa selesa untuk berada di bawah bimbingannya apatah lagi kita tahu bagaimana beliau telah membimbing Sabah pada musim lepas dengan corak permainan yang lebih baik, dan saya teruja untuk kembali bekerjasama dengan beliau”, ujarnya.

Kumaahran pernah menerima bimbingan dan didikan OKS ketika bersama Harimau Muda.

Pada masa sama bekas pemain Melaka United FC dan Petaling Jaya City FC ini tekad memperbaiki kelemahannya dari aspek penyudah untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama pada musim lalu.

Dia mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang telah dilakukan ketika bersama PJ City musim lalu apabila hanya mampu meledak tiga jaringan di pentas Liga Super daripada 25 penampilan secara keseluruhan.

“Saya ingin fokus untuk meningkatkan kualiti permainan saya terutamanya dari aspek penyudah.

“Saya nak melakukan penyudah yang lebih baik dan kena memastikan serangan yang lebih tajam kali ini sebab saya sedar musim lepas agak kurang menjadi untuk saya.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap sahaja mengenai misi dan sasaran sebab yang penting saya kena buktikan dahulu kemampuan saya dalam perlawanan”, katanya.