SUKAN karate turut tidak ketinggalan ingin menjadi penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja.

Edisi kali ini, Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menyasarkan tiga emas yang akan membuka gelanggang bermula Sabtu hingga 8 Mei ini.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sasaran itu disandarkan kepada acara berkumpulan, satu kategori wanita dan kumite berpasukan lelaki.

“Sudah tentu kita mahu menjadi penyumbang emas pertama dalam kategori wanita 50kg seterusnya hari-hari yang lain dan kita akan mempertahankan pingat emas lelaki untuk ektra bonus pingat emas kepada negara.

“Saya harap atlet yang sepatutnya sumbang pingat harus menyumbang dan ia akan memberi semangat kepada atlet lain (bertanding),” katanya ditemui ketika majlis makan malam bersama delegasi media Malaysia ke temasya Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Khamis.

 

Sementara itu, beliau berharap pencapaian atlet kali ini tidak dibelakang Singapura yang merupakan negara musuh tradisi di temasya dwitahunan itu.

Pada masa sama, Nur Azmi menyifatkan Vietnam sebagai pesaing sengit dalam usaha menggagalkan mencapai sasaran ditetapkan.

“Vietnam sangat bagus dan saya percaya kami akan berikan aksi yang paling terbaik,” katanya.

Tahun lalu, skuad negara berjaya menamatkan kempen di Sukan SEA Hanoi dengan empat pingat emas dan enam pingat gangsa di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh.

Tumpuan terarah kepada R Sharmendran yang memburu pingat keempat berturut-turut dalam kategori kumite lelaki 75kg, selepas memenangi ema acara yang sama di edisi Kuala Lumpur 2017, Filipina 2019 dan Vietnam 2021.