EDISI ke-16 Karnival Futsal MILO Hidup Bola menutup tirai dengan gemilang apabila pasukan RSP Titan Junior muncul juara pada pusingan akhir yang berlangsung di Sportizza Sports Centre, Subang Sabtu lalu.

Perlawanan akhir yang berlangsung di hadapan 500 penonton menyaksikan, RSP Titan Junior menundukkan lawan mereka Darul Naim 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan.

Amir Amar berjaya memastikan pasukannya muncul juara menerusi persembahan yang bertenaga sepanjang kejohanan berlangsung sekaligus dinobatkan selaku pemain terbaik B-16 dan membawa pulang sepasang kasut futsal jenama FIGOS.

“Syukur kerana saya dapat menyumbang tenaga untuk pasukan pada kejohanan ini dan saya percaya kami dapat mara lebih jauh selepas ini, katanya.

Ketua Jurulatih RSP Titan Junior, Nazrin Abdul Aziz memuji kejayaan pasukannya serta para pemain yang mempamerkan konsistensi sepanjang kejohanan.

RSP Titan Junior muncul juara pada pusingan akhir yang berlangsung di Sportizza Sports Centre, Subang pada Sabtu.

“Mereka sangat konsisten di atas gelanggang dan saya sangat gembira mereka melaksanakan tugas sebagai pemain dengan baik meskipun kita berdepan dengan lawan yang lebih hebat.”

“Kami juga berterima kasih kepada MILO di atas komitmen mereka menganjurkan pertandingan seperti ini sejak dari dulu lagi bagi memastikan misi pencarian bakat di dalam sukan ini dapat diteruskan,” ujar Nazrin

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran MILO Malaysia, Kerwin Lim yang turut hadir pada pusingan akhir teruja dengan aksi yang dipertontonkan oleh para pemain. Katanya, “Mereka sangat berbakat dan saya amat menghargai semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para pemain pada pertandingan ini.

Tambahnya, pertandingan ini juga telah menyaksikan ramai pemain-pemain futsal yang berbakat dan mempunyai potensi untuk cemerlang pada masa hadapan.

“Saya yakin mereka akan menyinar seperti pemain-pemain yang pernah beraksi di dalam Karnival Futsal MILO Hidup Bola ini.

“Kami di MILO Malaysia juga akan terus melaksanakan inisiatif seperti ini untuk memastikan kita dapat melahirkan lebih ramai pemain-pemain berbakat. Kami juga ada perancangan untuk menganjurkan pula pertandingan futsal wanita pada tahun depan.

Amir Amar dipilih sebagai Pemain Terbaik B-16 Tahun.

“Ramai pemain yang telah lahir menerusi pertandingan ini antaranya, Nik Akif Syahiran, Arif Aiman Mohd Hanapi, Azri Ghani dan Shivan Pillay yang pernah mewarnai Karnival Futsal MILO Hidup Bola sebelum ini.

Karnival Futsal MILO Hidup Bola ini dijalankan di 6 zon seluruh Malaysia bermula 18 Jun lalu dengan meliputi zon Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah & Sarawak.

Dalam pada itu, pasukan Stylo Mylo Green bergelar juara kategori B-12 hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Mota FC apabila Muhammad Raziq Rosli menjaringkan gol tunggal pada minit akhir permainan.

Juara bagi kategori B-12 dan B-16 masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 sementara RM10,000 dan RM7,000 menjadi milik naib juara dan tempat ketiga.