KEJOHANAN Karnival Masters Malaysia akan dilancarkan buat kali pertama kali hujung tahun ini sebagai inisiatif terkini Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyediakan platform kepada atlet veteran dan rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas.
Inisiatif ini bertujuan memastikan mereka terus aktif bersukan serta mempunyai peluang bersaing di peringkat nasional.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Sukan Masters ini bakal merangkumi 11 jenis sukan yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas.
“Kami telah menerima banyak maklum balas daripada atlet yang berlatih secara berkala tetapi tiada platform untuk bertanding.
“Dengan adanya Karnival Masters ini, kami berharap lebih ramai kelab dan individu akan kekal aktif dalam sukan,” kata Hannah ketika ditemui pada sesi latihan Pasukan Veteran Negara sempena Piala Dunia Hoki Masters 2024.
Walaupun acara ini bukan berskala besar seperti Sukan Malaysia (ukma), Hannah menjelaskan bahawa pelaksanaannya bertujuan mendapatkan maklum balas awal dari masyarakat sukan. Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pertama bagi Sukan Masters, dan ia dijangka menjadi langkah permulaan kepada pertandingan yang lebih besar di masa depan.
“Pelepasan Cukai RM1,000 turut diumumkan sebagai insentif kepada mantan atlet dan jurulatih yang terlibat dalam latihan sukan.
“Dengan mendaftar kelab atau persatuan sukan, mereka boleh menyediakan resit kepada ibu bapa atau individu yang mengikuti latihan tersebut, yang seterusnya layak untuk pelepasan cukai sehingga RM1,000,” tambahnya.
Sebanyak 11 acara yang akan dipertandingkan pada kejohanan Karnival Masters ini iaitu renang akuatik, badminton, berbasikal, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, sepak takraw, tenpin boling dan E-Sport.
Kehadiran Hannah memberikan dorongan semangat kepada pasukan hoki veteran yang akan terbang ke Cape Town, Afrika Selatan pada Khamis.