Kredit foto : Media Digital Johor

KARNIVAL ragbi Johor 2023 — acara ragbi remaja terbesar di Malaysia bakal dilangsungkan buat julung kalinya dari 15 hingga 17 September 2023 selepas tertangguh selama tiga tahun ekoran penularan pandemik COVID-19.

Tambah menarik, acara ini akan dilangsungkan di Stadium Ragbi Johor Mount Austin yang juga stadium ragbi pertama Johor yang bakal menampilkan 96 pasukan bertanding dalam empat kategori lelaki dan perempuan berusia 11 hingga 16 tahun.

Untuk edisi tahun ini, tiga kategori lelaki akan dipertandingkan mengikut peringkat umur iaitu – Piala Datuk Bandar MBIP (Bawah-16), Piala JCORP (Bawah-14) dan Piala Milo (Bawah-11) sementara untuk kategori perempuan pula, mereka akan berentap merebut Piala MILO (Bawah-16).

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman yang juga merangkap Presiden Kesatuan Ragbi Johor dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru pada Khamis.

Datuk Noorazam berkata usaha ini akan menjadi sebahagian daripada sukan teras di Johor pada masa akan datang, susulan komitmen dan minat yang ditonjolkan generasi muda kini.

Kejohanan kali ini turut mendapat sokongan MBJB, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan akan menjadikannya sebagai pentas terbesar dalam mempromosi dan memperkukuh pembangunan sukan ragbi di negeri ini.

Karnival Ragbi Johor ini turut mendapat sokongan daripada pihak swasta yang menyatakan pendirian mahu menyokong pembangunan sukan ragbi di kalangan remaja di negeri Johor selaras dengan wawasan Kesatuan Ragbi Johor.