PENGANJURAN Karnival UNITI Pesta Bola Merdeka 2023 dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuka tirainya pada Oktober ini.

Dengan tema yang disemat iaitu ‘Bola Sepak Menyatukan Kita’, karnival yang diadakan buat julung kalinya ini bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 hingga 17 Oktober 2023.

Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, motif utama karnival ini adalah sejajar dengan slogan atau tema yang diperkenalkan sejurus menjadikan program ini sebagai satu platform untuk menyatukan perpaduan rakyat Malaysia.

“Pihak kami amat berterima kasih kepada penganjur kerana aktiviti seperti ini bakal mengulang kembali sejarah pesta bola merdeka iaitu ramai pemain-pemain legenda kita akan tampilkan kembali supaya dapat memeriahkan lagi karnival.

“Sementara itu, kita ada dua acara awal akan dipertandingkan bagi mempromosi kehangatan Pesta Bola iaitu perlawanan bola sepak kategori kanak-kanak pada 30 September dan 1 Oktober manakala perlawanan bola sepak amal pada 7 Oktober,” katanya kepada media.

May be an image of 3 people and text

Pelbagai aktiviti menarik yang dapat dimanfaatkan oleh pengunjung yang hadir seperti acara larian, berbasikal, kejohanan penalti, kejohanan bola sepak jalanan dan persembahan kebudayaan.

Karnival Pesta Bola ini dijangka bakal disambut meriah oleh 100,000 pengunjung dari seluruh negara yang akan menyaksikan pasukan Harimau Malaya berentap dengan Palestin, Lubnan dan India.