SUSULAN berita tergempar membabitkan pelumba Asia Road Race Championship (ARRC) Haruki Noguchi yang disahkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan dalam siri ARRC Indonesia di Litar Mandalika pada Rabu, rakannya tampil menzahirkan ucapan takziah.

Pelumba ARC Superbike 1000 negara, Kasma Daniel Kasmayudin turut merasai kehilangan rakannya, Haruki Noguchi yang mati dalam kejadian yang menyayat hati tersebut.

“Saya hilang perkataan. Saya tidak percaya perkara ini dan tidak tahu bagaimana terkilannya saya atas apa yang berlaku.

“Anda adalah seorang pelumba yang paling kuat di atas litar. Biarpun anda bertarung keras di atas trek tetapi anda seorang yang baik dan seorang yang peramah,” menerusi hantaran Kasma Daniel Kasmayudin di Facebook miliknya.

Kasma turut berazam membawa semangat juang rakannya itu untuk dibawa ke gelanggang setiap kali perlumbaan diadakan.

“Saya akan bawa semangat juang anda bersama saya sepanjang karier saya sebagai pelumba litar,” tambahnya.

Berita lanjut:

PELUMBA ARRC HARUKI NOGUCHI MENINGGAL DUNIA

Sementara itu, dia turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh kenalan yang mengenali individu yang bernama Haruki Noguchi.

“Takziah kepada keluarga dan, kawan, pasukan dan sesiapa yang mengenali Haruki. Berehatlah #73 Haruki Noguchi. Anda tidak akan dilupakan dan akan sentiasa diingati,” ujarnya.