“INGAT tuan-tuan, ianya satu kebanggaan buat saya berdiri bersama-sama anda di dalam hujan, berjuang bersama dan ianya satu kebanggaan untuk berada di sisi kamu. Trofi di luar itu adalah Piala FA dan dia menunggu kita, ayuh bawanya pulang”.
Itulah kata-kata pembakar semangat yang dilaungkan Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail di dalam bilik persalinan Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum sepak mula aksi final Piala FA menentang Selangor FC.
Hasilnya, Harimau Selatan menampilkan aksi luar biasa dan mencipta sejarah baharu Piala FA apabila menjadi pasukan pertama memenangi trofi berprestij itu tiga kali berturut-turut dan menjadi final pertama yang menyaksikan keputusan 6-1 terpapar di layar markah.
Itulah peribadi yang ada pada Tunku Ismail di mana latihan ketenteraan yang dipelajarinya dibawa ke dalam kehidupan sehariannya dan dia membuktikan apabila merasa bangga berjuang bersama-sama pemain JDT.
‘Never leave a man behind‘ sering menjadi motto pasukan tentera dan mereka sememangnya dilatih untuk berjuang dan mempertahankan pasukan dalam apa jua keadaan yang melanda dan perkara ini digunapakai Tunku Ismail untuk membakar semangat para pemain JDT.
Sejak dari awal persiapan pasukan menjelang final, Tunku Ismail hadir pada setiap sesi latihan dan sama-sama berlatih tanpa mengira cuaca hujan yang melanda negara ketika ini. Dia meninggalkan segala protokol bagi memupuk rasa kekitaan bersama pemain.
Begitu juga ketika tiba di Kuala Lumpur, dia masih setia bersama pasukan di dalam hujan dan memantau sesi latihan dari segenap aspek kerana Tunku Ismail sememangnya terkenal dengan sikap ‘hands on’ dan teliti dalam setiap perkara.
“Hari ini bukan hari untuk kita pulang ke rumah dengan kepala tertunduk ke bawah tetapi hari ini kita akan keluar dari sini dengan kejayaan sebagai satu pasukan dan pingat di dada kita. Itu yang akan berlaku pada hari ini,” katanya ketika membuka bicara.
JDT berjaya mencipta kejayaan hatrik dan kejayaan keempat menjuarai Piala FA secara keseluruhan yang juga adalah trofi ke-28 mereka sejak kelab itu ditubuhkan pada 2013 dan dilihat masih sukar digugat mana-mana pasukan.
Kemenangan 6-1 itu diperolehi hasil jaringan hatrik Juan Muniz dengan Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes masing-masing menyumbang satu gol untuk kemenangan bergaya dan bersejarah buat Harimau Selatan.