HANYA atlet bawah 23 tahun (B-23) diberi keutamaan bertanding dalam Kategori B pada Sukan Sea Kemboja yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan, namun sukan tertentu mungkin diberi pertimbangan sewajarnya, jika terpaksa menghantar atlet berusia lebih 23 tahun.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan hal itu sekali gus hasrat beberapa persatuan sukan yang mahu menghantar atlet senior di bawah Kategori B, tidak akan diterima tanpa alasan munasabah.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, alasan tertentu terutamanya untuk sukan berkumpulan yang mesti melibatkan campuran atlet senior dan muda.
“Ada sedikit kelonggaran berdasarkan alasan yang diberikan termasuk bagi polo air, lumba perahu tradisional dan bola tampar. Sebagai contoh, tiga atlet senior dibenarkan berada dalam senarai 10 pemain bagi setiap pasukan.
“Ini bagi membolehkan atlet senior ini memberikan bimbingan dan pendedahan kepada atlet junior dalam temasya sukan dwitahunan itu.
“Selain itu, acara snuker dan billiard akan diberikan kelonggaran kerana sukan ini ada yang berumur lebih 50 tahun. Anda perlu faham, pembabitan atlet dalam sukan ini bermula lambat dan bukan senang untuk mencari pelapis,” katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Jumaat.
Oktober tahun lalu, Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM menetapkan tiada lagi atlet yang berusia 23 tahun ke atas akan dipertimbangkan di bawah Kategori B di Sukan Sea dengan kategori berkenaan hanya dikhususkan untuk atlet muda berusia 23 tahun ke bawah.
Atlet senior yang mahu bertanding di temasya itu perlu melepasi had kelayakan untuk berada dalam Kategori A, menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam ranking Asia Tenggara bagi acara individu dan keempat untuk berpasukan manakala atlet muda untuk Kategori B pula atlet perlu berada di kedudukan keenam teratas untuk dipertimbangkan.
Sebelum ini, Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim menyuarakan hasrat mahu menghantar atlet senior di bawah kategori B, bagi memastikan sasaran 10 pingat emas menerusi olahraga, direalisasikan.
Dalam pada itu, Norza memaklumkan senarai awal kontinjen Malaysia yang akan bertanding di Sukan Sea Kemboja adalah seramai 799 orang iaitu melibatkan 594 atlet dan 205 pegawai pasukan daripada 29 sukan.
“Hanya 367 atlet dan 143 pegawai pasukan memenuhi piawaian kelayakan Kategori A tetapi MOM bersetuju dengan permintaan persatuan untuk meluluskan penyertaan 227 atlet dan 62 pegawai pasukan di bawah Kategori B, dengan syarat mereka membiayai latihan dan perjalanan mereka ke Kemboja.
“Jumlah akhir atlet dan pegawai yang akan ke Sukan Sea Kemboja akan dimuktamadkan selepas tarikh akhir penghantaran nama iaitu pada 5 Mac depan,” katanya.
Norza turut mengumumkan pelantikan bekas ratu boling negara, Datuk Shahlin Zulkifli dan bekas pemain skuasy wanita, Shahron Wee sebagai timbalan ketua kontinjen negara. Mereka akan membantu ketua kontinjen, Datuk Mohd Nasir Ali yang diberi tanggungjawab selaku ketua kontinjen.