SELEPAS hampir seminggu berada di Perlis, ekspedisi berbasikal Kembara Berbasikal ke Mekah akan meneruskan kayuhan memasuki sempadan negara di Thailand bermula esok.

Menurut Ketua Misi Kayuhan, Che Saad Nordin, mereka berhenti rehat di Timah Tasoh untuk memulihkan tenaga dan bermalam beberapa hari di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Perlis.

“Insya Allah, esok kami akan menunggu pelepasan merentas sempadan ke Thailand melalui Padang Besar jam 10.15 pagi. Di Perlis, kami menginap dan berehat mengumpulkan semula kekuatan serta tenaga.

“Kami juga memeriksa kondisi basikal dan sedang menyelesaikan beberapa urusan yang tertangguh sebelum memasuki Thailand

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyambut kami dan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan sepanjang kayuhan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 1 person, bicycle and text

Di sapa Pak Ad, dia yang bakal menyambut kelahiran ke-73 pada 15 Disember ini mengucapkan syukur kepada Allah selepas mengurniakan usia dan tenaga untuk terus menikmati pelbagai rezeki atas bumi ini.

“Semoga Allah permudahkan perjalanan kami dan mendapat haji yang mabrur,” ujarnya yang berasal dari Baling, Kedah.

Sepanjang misi kayuhan dari Malaysia ke Makkah sejauh 12,000 kilometer itu, mereka akan menempuh tujuh negara dalam tempoh tujuh bulan perjalanan.

Selepas berjaya memasuki Thailand nanti, ekspedisi ke Makkah akan diteruskan lagi dengan menyeberangi negara India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijangka tiba di Arab Saudi pada pertengahan Mei 2024.

Selain Che Saad, kayuhan itu turut diiringi pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 35; dan Noradilah Mohd Sapie, 36; serta kakitangan FRIM, Abdul Halim Talha, 56.

ARTIKEL BERKAITAN : Empat sahabat mulakan kembara berbasikal dari Malaysia ke Makkah