SEBANYAK 17 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup bagi memberi laluan penganjuran acara kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) 2024 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Ahad ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, penutupan jalan utama di tengah kota raya itu dibuat secara berperingkat bermula sekitar 6.30 pagi sehingga 9 pagi.
“Seperti tahun sebelum ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu unit pengurusan lalu lintas. Kita sudah buat perancangan untuk menutup 17 lokasi (laluan).
“Segala-galanya sudah diatur dengan baik, harap masyarakat cakna tentang penutupan jalan ini,” katanya selepas majlis pelancaran laluan dan pengenalan penaja OCBC Cycle KL 2024. di Four Season Place, Kuala Lumpur pada Selasa.
Antara jalan terbabit ialah Jalan Raja Laut, Jalan Leboh Ampang, Jalan Mushi Abdullah, Jalan Jalan Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Perak, Jalan P Ramlee, Jalan Kuching, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Parlimen, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Kinabalu, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang dan Jalan Perak.
OCBC Cycle KL 2024 kekal sebagai satu-satunya acara berbasikal beramai-ramai yang menyusuri jalan tertutup di tengah bandar raya dengan lebih daripada 2,700 peserta telah mendaftar pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, pihaknya berbesar hati apabila penganjuran OCBC Cycle KL terus mendapat sokongan penaja termasuk bantuan PDRM.
“Kami gembira untuk mendapat sokongan penuh pihak PDRM dan percaya laluan tahun ini akan menjanjikan pengalaman yang lebih menarik. Kami tidak sabar-sabar mahu melihat senyuman di wajah komuniti peminat suka berbasikal yang menyokong OCBC Cycle KL selama ini.
“Kami teruja untuk melibatkan kanak-kanak dalam acara tahun ini dan berharap untuk melihat lebih daripada 2,700 penunggang basikal pada Ahad demi membina bandar raya Kuala Lumpur yang lebih sihat dan hijau.
“Saya sendiri tidak sabar-sabar untuk mengayuh basikal sekali lagi pada hujung minggu ini di tengah-tengah pusat bandar! Bukan itu sahaja, saya sukacita untuk menyatakan bahawa seramai 400 daripada rakan sekerja saya akan turut serta dalam acara ini,” ujarnya.
Bermula dan berakhir di Dataran Mereka, OCBC Cycle KL 2024 yang telah memasuki edisi ketujuh tahun ini akan kembali mempertandingkan kategori Kids Push Bike.
Sama seperti penganjuran edisi tahun lalu, dua kategori utama turut dipertandingkan untuk golongan dewasa iaitu 42 kilometer (km) dan 21km yang terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.