PENGGEMAR sukan berbasikal berpeluang mengalami kayuhan bertaraf century di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menerusi penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride, 19 Mei depan.

Penganjuran bersempena Tahun Melawat Perak 2024 itu, membabitkan pelbagai kategori peringkat umur merangkumi tiga pilihan utama cabaran iaitu 160 kilometer (km), 90km dan 28km di Lebuhraya WCE yang akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.

Perlumbaan basikal yang dibawakan Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu, menawarkan hadiah wang tunai kepada tiga pemenang teratas cabaran 160km Century Ride dan 90km Ride dan pendaftaran akan dibuka esok.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad, penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride itu, susulan kejayaan penganjuran RHB LEKAS Highway Ride yang dilangsungkan setiap tahun.

“RHB secara proaktif menyeru keluarga dan masyarakat bersama-sama untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui sukan berbasikal. Selain keseronokan berbasikal bersama keluarga dan rakan-rakan di lebuh raya, terdapat juga pelbagai aktiviti yang lain.

“RHB LEKAS Highway Ride yang dianjurkan pada setiap tahun adalah bukti kejayaan dan populariti acara berbasikal seperti itu di Malaysia. Pada tahun lalu, kami menerima lebih 6,000 penyertaan dari 30 negara.

“Justeru itu, kami amat teruja untuk memperkenalkan RHB WCE Century Ride,” kata Mohd Rashid.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, acara berbasikal itu akan menawarkan pengalaman yang cukup bermakna.

“Kayuhan akan bermula di Lekir ke jajaran kami yang bakal dibuka (Beruas–Taiping Selatan) dan kemudian kembali ke Lekir dengan meliputi jarak lebih 160km,” katanya.

Bersempena dengan RHB WCE Century Ride, RHB akan menawarkan beberapa promosi, antaranya pemegang kad debit dan kredit RHB boleh menikmati diskaun yuran pendaftaran apabila mereka mendaftar penyertaan di dalam talian dekat laman web RHB WCE Century Ride sebelum 7 Februari ini.

Mereka yang tidak mempunyai kad RHB boleh melayari laman web RHB untuk memohon kad sekali gus menikmati tawaran eksklusif untuk yuran pendaftaran sebelum 7 Februari.

Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung RHB WCE Century Ride boleh melayari laman web www.wcecenturyride.com, di Facebook CWE Century Ride serta di Instagram @wcecenturyride.