BEKAS penyerang Jepun, Kazuyoshi Miura telah menjadi pemain tertua muncul untuk kelab profesional Portugal selepas masuk sebagai pemain gantian untuk pasukan Oliveirense menentang Academico de Viseu pada Ahad.

Miura, yang lebih mesra dikenali sebagai ‘King Kazu’, menyertai kelab divisyen dua itu secara pinjaman daripada Yokohama FC pada Januari.

Pemain berusia 56 tahun itu tidak beraksi sehingga kini, tetapi masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-90 ketika Oliveirense mencatat kemenangan 4-1 ke atas Academico de Viseu.

“Dia menjadi pemain bola sepak tertua pernah bermain dalam bola sepak Portugis, dengan 56 tahun, satu bulan dan 24 hari,” kata Oliveirense di laman web mereka.

Kini dalam musim ke-38 sebagai pemain bola sepak profesional, Miura telah bermain untuk beberapa kelab di beberapa negara, termasuk Palmeiras (Brazil), Genoa (Itali) dan Dinamo Zagreb di Croatia.

Penyerang itu memiliki 89 kaps untuk Jepun dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang merangkul Piala Asia pada 1992. Dia adalah penjaring kedua terbanyak negaranya dengan 55 gol, dan membuat penampilan antarabangsa terakhirnya pada 2000.