KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) untuk Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM).

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KBS untuk membantu atlet daripada CHARM yang akan bertanding di Kejohanan Sorak Dunia 2024 di Orlando, Amerika Syarikat.

Menterinya, Hannah Yeoh turut hadir ke Sekolah Sri Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan para atlet CHARM dan menyerahkan mock cheque sebelum mereka berlepas ke Amerika Syarikat.

Antara persembahan yang ditonjolkan oleh atlet CHARM. (Sumber Gambar: KBS)

“Apabila belia kita terlibat dałam sukan, mereka akan belajar berpasukan, menyokong satu sama lain, dan bermain mengikut peraturan.

“Dengan ini, pembinaan negara akan berlaku dan patriotisme bermula di sini,” kata Hannah dalam kenyataan media.

Beliau turut memberi peruntukan sebanyak RM30,000 daripada peruntukan menteri sebagai sokongan untuk aktiviti mereka.

Hannah Yeoh bersama para atlet dari CHARMS selepas menerima mock cheque. (Sumber Gambar: KBS)

Pasukan itu yang terdiri daripada daripada 20 orang atlet berumur antara 12 hingga 15 tahun akan bertanding dalam Kejohanan Sorak Dunia 2024 dari 24 hingga 29 April.

Kejohanan itu menandakan ulang tahun ke-21 dengan 10,000 atlet dari 80 negara berkumpul di bawah naungan International Cheer Union (ICU).