KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) masih menunggu laporan lengkap susulan kes kematian atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, di Seremban.

Allahyarham disahkan meninggal dunia selepas hampir 12 jam menerima rawatan di kejohanan yang disertainya dan ia adalah tragedi yang menyedihkan dan kali pertama dalam sejarah pertandingan sukan silat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim ditemui pada Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di Majlis Sukan Negara (MSN), enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan namun berharap kejadian yang berlaku menjadi tanda atas betapa pentingnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kod sukan selamat dalam mana-mana penganjuran sukan.

Penganjur, Pesaka akan mengeluarkan laporan penuh insiden kematian pesilat Terengganu. -Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan sebagai penganjur, kita sentiasa beringat dan apakah langkah patut dilakukan dalam penganjuran sebarang kejohanan.

“Penganjur iaitu Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan) dan Pesaka Negeri Sembilan akan mengeluarkan laporan penuh mengenai perkara ini.

“Buat masa ini bagi pihak KBS sendiri tidak boleh memberi komen lanjut kerana menghormati perasaan keluarga,” katanya.

Barisan atlet dan pegawai sukan yang menghadiri Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di MSN.

Adam ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu berkata, penganjuran sukan seharusnya menjadi ruang selamat yang terus dipelihara.

Kod sukan selamat bukan saja untuk melindungi atlet tetapi juga dari sudut kejohanan kerana sukan adalah bidang berisiko tinggi dan mekanisma perlindungan perlu diwujudkan untuk semua pihak.

Barisan atlet dan pegawai sukan yang menghadiri Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di MSN.

Terdahulu Allahyarham Wan Muhammad Haikal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban petang semalam.

Bagaimanapun Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin semalam dilaporkan sebagai berkata, kematian Allahyarham bukan berpunca daripada sepakan lawan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.