KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu membentuk kerjasama dengan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) bagi mengenal pasti aspek-aspek yang boleh dibangunkan dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menterinya, Hannah Yeoh percaya aktiviti udara yang sudah dikategorikan sebagai sukan itu mampu menarik minat murid-murid di sekolah untuk lebih berminat dan mendalami mata pelajaran Sains seperti fizik.

“Seperti kita maklumkan, sukan penerbangan ini adalah sukan yang diwartakan dalam akta pembangunan sukan yang dipanggil sebagai sukan udara. Selepas diwartakan, peralatan yang mereka gunakan seperti dron boleh mendapat pengurangan cukai sehingga RM1,000.

Hannah Yeoh ketika merasmikan aplikasi Sports Aviation Management System di Putrajaya 

“KBS mahu mewujudkan kerjasama dengan persatuan ini untuk melihat bagaimana kami boleh bangunkan kursus-kursus TVET kerana kita mahu TVET bawah KBS lebih kepada industri sukan,” katanya di Putrajaya.

Dalam pada itu Presiden MSAF, Nurhaqimy Ismail mengakui pihaknya teruja untuk membentuk sebuah ekosistem dari sukan udara ini kerana ianya telah diwartakan sebagai sukan di negara ini.

“Sebelum ini sukan udara sering dianggap sebagai sukan yang mahal tetapi sebenarnya ia melibatkan pertandingan kapal terbang kertas dan ianya sudah menjadi sukan di seluruh dunia dengan pelbagai kategori dipertandingkan.

“Kini di Malaysia, kami ingin membentuk sebuah ekosistem sukan udara di mana ianya bukan sahaja melibatkan atlet tetapi juga melibatkan aspek kejuruteraan, sains sukan dan juga perniagaan yang lebih meluas,” jelasnya.

MSAF melancarkan aplikasi Sports Aviation Management System (SAMS) pertama di dunia yang menjadi hab setempat bagi peminat dan penggiat sukan ini untuk mendapatkan segala maklumat mengenai sukan udara.