KEMENTERIAN Belia Dan Sukan (KBS) akan lebih terbuka kepada media dari segi liputan demi menyampaikan maklumat secara meluas kepada peminat sukan tanah air.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peranan media dalam menyampaikan maklumat adalah sangat penting dan saya akan memastikan semua persatuan sukan akan bersikap lebih terbuka kepada pengamal media.
“Selepas mengadakan sesi dialog bersama-sama, saya mendengar keluhan pengamal media dan akan memastikan semua persatuan sukan yang bernaung di bawah KBS akan lebih membuka pintu kepada media untuk membuat laporan,” ujarnya ketika sesi sidang media di Majlis Ramah Mesra Dan Berbuka Puasa Bersama Media pada Rabu.
Dalam pada itu Faizal turut menyentuh mengenai sasaran pingat yang diletak oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dianggap sebagai realistik dengan 31 pingat emas dan 79 pingat keseluruhan bagi temasya Sukan Sea ke-31, Hanoi Mei ini.
“Saya yakin bahawa setiap atlet yang menyarung jersi Malaysia pastinya akan melakukan yang terbaik buat negara dan saya akan gembira jika ada atlet yang mampu memecahkan rekod peribadi mereka ketika Sukan Sea nanti.”
Dalam pada itu Presiden SAM, Norismadi Abd Manap turut mendedahkan bahawa SAM akan memulakan semula Anugerah SAM yang menjadi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air.
“InshaAllah kita akan adakan semula Anugerah SAM yang telah tertangguh sebelum ini kerana masalah dalaman yang menggangu persatuan tetapi kini segalanya sudah selesai dan kita mempunyai dana untuk melangsungkan anugerah ini semula tahun ini,” ujarnya.
Anugerah SAM yang bermula pada tahun 1985 adalah majlis menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan dengan enam kategori Anugerah Kewartawanan mula dipertandingkan pada tahun 2009 selain anugerah kepada atlet terbaik negara.