KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang mengusahakan insentif kepada pihak swasta yang berkerjasama dengan kementerian itu, dalam memenuhi permohonan persatuan sukan kebangsaan (PSK) bagi mendapatkan pusat latihan untuk beberapa acara sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mencari kaedah terbaik yang boleh dimanfaatkan pihak swasta yang membantu.

“KBS kini berada dalam sesi libat urus bersama MOF untuk membuat belanjawan tahun hadapan. Beberapa usaha kita lakukan ini, kita mahu ‘champion’ bersama dan saya akan mengumumkan selepas selesai perbincangan,” kata Hannah dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif 1Sukan 1Fasiliti, di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau menjawab persoalan mengenai insentif dan keistimewaan yang bakal diperoleh pihak swasta, yang membantu menyedia dan menyewa fasiliti kepada PSK pada kadar yang berpatutan.

Dalam pada itu, Hannah mengumumkan, sebanyak lapan permohonan daripada PSK untuk mendapatkan venue latihan, diselesaikan menerusi padanan inisiatif 1Sukan 1Fasiliti.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh gembira kerjasama dengan pihak swasta mula membuahkan hasil.

 

Lapan sukan terlibat, larian berhalangan (Persatuan Sukan Larian Berhalangan Malaysia (MORSA) yang mendapat venue ruang parkir Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Bola korf (Persatuan Korfball Malaysia) pula di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Negara (Panasonic) Shah Alam, Teqball (Persatuan Teqball Malaysia) di Dewan Serbaguna Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, sofbol dan besbol 5 (Persatuan Sofbol Malaysia) di Padang Sofbol Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagi sukan sport Diving & Finswimming (Persatuan Finswimming Malaysia) pula akan menjalani latihan di Akademi Sukan UPM, drone soccer (Persatuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) di MRANTI Park, Bukit Jalil, dan hoki ais (Persatuan Hoki Ais Malaysia) di IOI Icespace Ice Rink, IOI City Mall, Putrajaya.

“Kalau pasukan kebangsaan tiada tempat latihan, bagaimana kita nak bantu mereka menang pingat, malah masih ada PSK yang sedang kita bantu dapatkan fasiliti latihan pusat, sedang kita usahakan.

“Jadi, saya menyeru pihak di luar sana yang mempunyai fasiliti dan sedia untuk menawarkan fasiliti mereka sebagai gelanggang latihan pusat, boleh berjumpa dengan persatuan-persatuan sukan atau berhubung dengan KBS,” katanya.

Tambah beliau, antara sukan lain yang masih mencari fasiliti untuk dijadikan pusat latihan adalah bagi sukan ping pong yang memerlukan ruang luas memuatkan banyak meja dan gusti.

Bagi fasa seterusnya, Hannah berkata, pihaknya akan membuat padanan fasiliti yang sesuai untuk dijadikan venue untuk penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.