KEMENTERIAN Belia Dan Sukan (KBS) mahu formula sasaran tanpa mengira warna pingat yang diterapkan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 ini mungkin akan digunakan pada temasya seterusnya termasuk di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ini kerana pihak KBS melihat pendekatan baharu ini berjaya mengurangkan tekanan dihadapi kontinjen berbanding sasaran pingat emas di temasya besar dan bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihaknya akan sentiasa mengutamakan kepentingan setiap atlet.
“Sasaran tanpa mengira warna pingat Ini tidak dibuat kerana mengikut cara baharu atau apa tetapi adalah nasihat daripada NSSU (Universiti Sains Sukan Nippon) kepada kita.
“Apabila kita berada di sana, kalau kita bercakap dengan atlet di sana, mereka kata dengan cara baharu ini, mereka rasa tekanan itu seakan tidak wujud dan memudahkan mereka sebelum bertanding.
“Selain itu juga, dengan cara ini, atlet lain juga merasakan diri mereka penting kerana setiap pemenang pingat termasuk gangsa pun, mereka rasa diraikan dan itu penting buat atlet kita.
“Jadi, kalau perkara itu baik untuk atlet kita, kita akan teruskan,” kata Hannah ketika sidang media pencapaian Sukan Asia Hangzhou, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebagai rekod, kontinjen negara membawa pulang 32 pingat iaitu enam emas, lapan perak dan 18 gangsa sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum berlepas ke Hangzhou.
Malaysia menamatkan temasya dengan berada di kedudukan ke-14 daripada 45 negara manakala tuan rumah China muncul selaku juara keseluruhan apabila meraih 201 emas, 111 perak dan 71 gangsa.