SUSULAN isu sembilan lagi persatuan sukan yang gagal membuka akaun kedua, bagi urusan menerima geran atau dana daripada Kemeneterian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin satu proses baharu untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pasukan terbabit akan diwujudkan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, setiap persatuan sukan mempunyai situasi (masalah) berbeza sehingga sukar untuk membuka akaun kedua itu.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam beberapa mesyuarat akan datang, akan diperinci dan akan ada satu proses baharu untuk bantuan kewangan kepada persatuan sukan.

“Bukan degil (keengganan membuka akaun kedua) tapi ini adalah keseluruhan proses, malah Presiden (MOM) memberitahu dalam mesyuarat, YB Hannah (Yeoh) akan melihat semula proses bantuan kepada persatuan sukan dan bagaimana persatuan sukan boleh menunjukkan detail dalam audit akaun.

“Dalam proses akan dilihat semula perincian supaya bantuan itu boleh diberikan kepada persatuan sukan yang boleh menerima proses baharu,” kata Mohd Nazifuddin, ditemui selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-211 dan Perhimpunan Agung MOM ke-43 yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kemungkinan masalah yang dihadapi sembilan persatuan terbabit, sehingga sukar membuka akaun kedua sebagaimana diminta KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pasukan yang gagal membuka akaun bank kedua itu layak tidak diberi bantuan kerana enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan KBS.

“Kalau tak bolehikut garis panduan baharu dan itu alasan tidak boleh beri bantuan… mungkin itu akibatnya.”

Semalam (Jumaat), Flash Sukan melaporkan sembilan lagi persatuan sukan  belum membuka akaun bank khas untuk membolehkan mereka menerima  dana dari kerajaan.