SATU kerjasama berjaya dijalinkan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha untuk menambah baik dan memantapkan lagi tatakelola pengurusan kewangan khususnya dalam aspek perolehan kerajaan.

Kerjasama ini dibuat bagi memastikan nilai pelaburan awam dapat dimaksimumkan dan mencegah sebarang ketirisan daripada berlaku serta untuk mengurangkan risiko tipuan bida, rasuah, kebocoran maklumat, pecah amanah dan salah guna kuasa di bawah kementerian itu.

Menurut KBS, mereka memberi perhatian yang serius mengenai risiko yang disebut dan telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan pihak MyCC dalam usaha menangani isu kartel tipuan bida yang tertakluk di bawah Akta Persaingan 2010.

Hasil perbincangan bersama, KBS dan MyCC memperkukuhkan kerjasama dalam tiga aspek iaitu advokasi mengenai anti persaingan, nasihat polisi daripada pihak MyCC, dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes yang disyaki boleh menjadi pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010 untuk penyiasatan lanjut.

Tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga juga akan diteliti bukan sahaja dari segi aspek teknikal dan kewangan tetapi juga bebas daripada kartel tipuan bida atau collusion.

“Pihak KBS ingin mengingatkan pihak syarikat/kontraktor supaya membuat pengisytiharan non-collusion dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan di KBS.

“Menjadi tanggungjawab pihak KBS khususnya pegawai-pegawai yang terlibat untuk memastikan urusan perolehan kerajaan dilaksanakan berdasarkan amalan tadbir urus baik dengan mematuhi prinsip-prinsip perolehan kerajaan,” menurut siaran media yang diedarkan pada Jumaat.