SELEPAS membayangkan penganjuran Sukan SEA 2027 bakal menerima nasib seperti cadangan Malaysia, sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar nada apabila mengumumkan kesediaan untuk memperhalusi cadangan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya serantau itu.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perbincangan dengan Sarawak sudah dilakukan bagi melihat peluang negeri itu menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan berkenaan.
“Perkara itu masih dalam pertimbangan dan kajian kerana ada banyak faktor yang perlu diambil kira, bukan sahaja dari segi bajet iaitu negeri dan persekutuan tetapi termasuklah fasiliti sukan dan penaja.
“Jadi, kita sedang perhalusi perkara ini,” kata Hannah ketika ditemui selepas merasmikan pemeran ‘Science in Service of Medals di Universiti Malaya (UM) pada Khamis.
Beliau, berkata setakat ini hanya Sarawak yang menyuarakan minat bagi menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
“Saya fikir sebab utama Sarawak berminat adalah kerana mereka sudah melabur untuk menaik taraf fasiliti sukan di negeri itu bagi penganjuran Sukma (Sukan Malaysia 2024).
“Namun, untuk Sukma dan Sukan SEA, penyertaannya adalah berbeza, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh, hotel… sama ada hotel mencukupi atau sebaliknya. Jadi, kita sedang kaji semua faktor ini,” katanya.
Dua tahun lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan yang Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan SEA pada 2027 dalam satu mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Hanoi, Vietnam.
Sebelum ini, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan berkata, SEAGF menghubungi MOM bagi mengemukakan tawaran kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 susulan pengunduran Brunei.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan.