KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya, YB Hannah Yeoh bersikap terbuka dalam penajaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dan bersedia menerima segala bentuk penajaan korporat tanpa menetapkan sebarang tarikh akhir.

Edisi ke-27 LTdL itu bakal berlangsung dari 23 sehingga 30 September 2023 dan kini mencetuskan tanda tanya susulan kurang penajaan korporat setelah berakhir isu tunggakan hutang edisi tahun lalu.

Keadaan itu menyaksikan pihak KBS melaksanakan penjimatan dengan memastikan LTDL diuruskan Majlis Sukan Negara (MSN) serta kerjasama dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

 

“Memang saya kata secepat mungkin, namun bukan bermaksud ada tarikh akhir bahkan kalau sehari sebelum mula LTdL sekali pun saya terima lagi.

“Jika berlaku keadaan sebaliknya, KBS mungkin akan guna peruntukan asas yang diberi Kementerian Kewangan untuk tahun ini tetapi saya cuba cari jalan paling baik,” katanya.

Hannah ditemui ketika melancarkan secara rasmi pasukan baharu tempatan bertaraf benua, Malaysia Pro Cycling (MPC) yang dipimpin bekas pelumba kebangsaan, Mohd. Sayuti Zahit.

 

MPC yang berdaftar dengan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia menggantikan Team Sapura Cycling yang terpaksa ditutup awal tahun ini ekoran masalah ketiadaan penaja.

Skuad baharu ini mendapat sokongan daripada penaja seperti Helaz, Damar Impex, MZSB, N8, Rudy Project, MVR Racing, KCNC, CurrexSole, Specialized, Shimano, Lazer, Pro, dan Wahoo selama dua tahun dan akan beraksi bermula di Jelajah Terengganu bulan hadapan.

Dalam perkembangan yang sama, Hannah bersyukur apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menamatkan sekatan daripada kalendar jelajah Asia dengan memberikan LTdL kembali status sebagai jelajah ProSeries yang akan merentasi semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dengan jarak kira-kira 1,280 kilometer.

Hannah juga menegaskan bahawa jelajah lumba basikal terbesar Asia itu juga turut mendapat sokongan daripada setiap kerajaan negeri dengan mesyuarat bersama exco sukan negeri akan dilakukan dalam masa terdekat.