BERITA baik buat para penyokong Harimau Malaya yang tidak ke Qatar kerana mereka boleh menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan di pentas Piala Asia 2023 secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ini selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan menganjurkan tayangan skrin gergasi bagi ketiga-tiga aksi Harimau Malaya pada peringkat Kumpulan E di stadium berkapasiti 87,000 tempat duduk tersebut menerusi laman sosial rasmi mereka.

Difahamkan sebanyak dua buah skrin gergasi disediakan untuk tontonan para penyokong yang disediakan peminat skuad Harimau Malaya sebagai inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tambah menarik, kemasukan para penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan tayangan skrin gergasi tersebut adalah percuma dan dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.

Harimau Malaya akan memulakan kempen peringkat kumpulan menentang Jordan pada 16 Januari pada jam 1.30 pagi diikuti dengan perlawanan menentang Bahrain pada 20 Januari, yang akan bermula jam 10.30 malam.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang Republik Korea pada 25 Januari dengan sepak mula dijadualkan pada jam 7.30 malam.

Inisiatif KBS ini perlu dipuji kerana ianya memberikan para penyokong untuk menonton bersama-sama dan merasai sendiri bahang Piala Asia selepas Harimau Malaya layak ke pentas tertinggi Asia itu buat kali pertama selepas 43 tahun.