ADIK Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang kisahnya baru-baru ini menjadi
tular apabila klip yang memaparkan dia menamatkan perlumbaan 100 meter
menggunakan tongkat telah bertemu dengan pakar prostetik Artalive Sdn Bhd
untuk penilaian bagi menentukan jenis prostetik yang diperlukan untuk
membolehkannya menyertai aktiviti sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia bukan tentang menjadi yang
terpantas tetapi mengenai keinginan dan keazamannya untuk menamatkan
perlumbaan yang mengagumkan.

Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Sukan Negara (ISN) akan menyelia pemasangan prostetik adik Aqil yang memerlukan kaki palsu paras pinggul (hip disarticulation prosthesis).

“Kami membuat susulan untuk memastikan sokongan jangka panjang dan tiada komplikasi,” kata Dr Ahmad Munawwar Helmi, pakar perubatan sukan di ISN.

Dalam video tersebut, adik Aqil pelajar SK Felda Lepar Utara 1 telah menyertai
kejohanan olahraga pendidikan khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD)
Jerantut 2023.

Dia dilihat didorong oleh Cikgu Intan Zulailkha Jusoh yang berlari
bersamanya. Adik Aqil diiringi ibunya Noorhafizah Mat Desa, Cikgu Intan Zulailkha Jusoh dan Cikgu Mohd Razif Ibrahim yang membimbingnya untuk perlumbaan.

Hannah diiringi oleh Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA),
sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengetuai inisiatif Projek Tongkat yang
bertujuan menawarkan sokongan kepada orang yang diamputasi melalui sukan.

Hannah menasihatkan mereka yang kurang upaya untuk memohon kad OKU
sebagai langkah pertama.

Mereka yang kudung kaki dan ingin bermain bola sepak boleh hubungi 011-36296375 atau e-mel ke myamputeefa@gmail.com atau berhubung di media sosial melalui laman Facebook dan Instagram projek_tongkat.

ARTIKEL BERKAITAN : “Adik Muhammad Aqil mempunyai pemikiran seorang juara” – Hannah Yeoh