KERAJAAN serius dalam membudayakan sukan dalam masyarakat apabila mengambil langkah proaktif, memperluas usaha penggalakan itu kepada golongan warga emas.
Selain menggalakkan sukan, inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mahu memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan itu terpelihara.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang berlangsung di Menara KBS, Putrajaya.
Perbincangan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.
Sebanyak 21 pemegang taruh, turut bersama dalam perbincangan berkenaan antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Malaysian Research Institute on Ageing, Universiti Putra Malaysia, Myageing Institution (Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Menerusi satu kenyataan, KBS berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2023, menunjukkan populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas kini mencecah 11.1 peratus.
Katanya, statistik itu dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang tahun 2030, menjadikan Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara menua, menurut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sehubungan itu, langkah proaktif sedang diambil dengan mengalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan ini terpelihara.
“Usaha KBS ini selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases – NCD), serta diharapkan dapat mengurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada Kerajaan.
“Sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan, idea dan maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk daripada jabatan/agensi Kerajaan, sektor swasta, badan sukan, dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, KBS memaklumkan input yang diterima dalam sesi perbincangan itu diharapkan dapat membantu kementerian itu melalui JBSN untuk membina jaringan kerjasama strategik bersama pemegang taruh seterusnya menyokong usaha pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua (sports for all), termasuk dalam kalangan warga emas.
Katanya, sesi itu turut menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).