LEBIH ramai orang kurang upaya (OKU) digesa bergiat lebih aktif dalam aktiviti sukan sekali gus terpilih sebagai atlet bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Khas Dunia, pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat menjalankan pencarian bakat atlet OKU, dalam usaha negara menghantar lebih banyak penyertaan ke temasya sukan berprestij itu.

Majlis penyerahan Jalur Gemilang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada atlet ke Sukan Olimpik Khas Dunia 2023. Pix KBS

“Saya dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan melihat bentuk bantuan, sokongan yang kementerian boleh beri kepada jurulatih khususnya, kerana tidak mudah untuk melatih mereka (atlet OKU),” kata Hannah selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet ke Sukan Olimpik Khas Dunia 2023.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu lebih ramai atlet OKU beraksi di Sukan Olimpik Khas Dunia, pada masa akan datang. Pix KBS

Sementara itu, Hannah mengumumkan seramai 16 atlet OKU menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia, di Berlin, Jerman, yang akan berlangsung dari 17 hingga 25  Jun ini.

Temasya khusus buat OKU itu membabitkan26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal.

Menurut Hannah, MSN memperuntukkan dana sebanyak RM160,000 sebagai persediaan atlet ke Berlin.