Oleh: MOHD HILMIE HUSSIN & IZZATI RAHMAN

SETIAP persatuan mempunyai komitmen berbeza dan menteri tiada hak dalam menentukan corak pentadbiran yang diamalkan mana-mana Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hak menentukan gaji kepada presiden PSK atau sebaliknya, adalah hak persatuan sukan itu sendiri.

“Perkara itu tidak berada di bawah bidang kuasa menteri untuk masuk campur hal berkenaan dan itu semua terpulang kepada pihak PSK untuk mengendalikan urusan kewangan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak mahu campur tangan soal pentadbiran pasukan sukan kebangsaan dan menganggap  isu gaji tertakluk kepada tanggungjawab dan komitmen serta perlembagaan persatuan.

“Terpulang kepada kemampuan setiap persatuan sukan kerana setiap persatuan sukan ada komitmen dan tanggungjawab yang berbeza. Ada yang sepenuh masa (memegang jawatan presiden), ada separuh masa dan ada juga secara sukarela,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan ‘Play Ture Day’ dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS, di Arena Axiata.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin didakwa menerima gaji mencecah sehingga RM90,000 sebulan, tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, Hamidin menganggap dakwaan terhadap gaji berkenaan sebagai satu isu peribadi.

Hannah Yeoh tidak melihat isu penggajian Presiden FAM, Datuk Hamidin sebagai masalah kerana bergantung kepada komitmen dan sistem persatuan sukan masing-masing.

Hamidin turut menegaskan yang statusnya sebagai presiden adalah secara sepenuh masa dan menerima beberapa faedah sudah ditetapkan ketika dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018 bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang ketika itu masih bergelar Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Dalam pada itu, dalam majlis berbeza, Hamidin menegaskan beliau berfikiran terbuka dan sedia menerima kritikan.

“Saya terima kritikan daripada netizen, mana yang baik saya ambil.

“Banyak lagi, saya ingat bloger-bloger mahupun pengkritik yang kritik hal ini, tentang prestasi Bawah 23 Tahun dan juga mengenai surat layang itu.

“Kita kena terimalah sebab kita memegang jawatan ini, yang penting kita tak buat salah dan lakukan ini demi bola sepak negara,” kata Hamidin, selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 & Sambutan Hari Raya Aidilfitri MOM pada Isnin.

Hamidin turut menegaskan bahawa FAM sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding mengemudi jawatan dipegangnya itu.