KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu memperkasakan Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu (PGNT) untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, buat masa ini sukan itu masih dijalankan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Negeri Terenggsanu (MSST) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Saya ingin mengumumkan bahawa Majlis Sukan Negara akan menempatkan Jurulatih Gimnastik Wanita di Dewan Gimnastik Bukit Payung Terengganu bagi membolehkan lebih ramai gimnas wanita dapat dikenalpasti dan diberikan latihan harian yang lebih sistematik.

“Ini adalah bagi memastikan bakal-bakal gimnas wanita yang berminat berkecimpung dalam sukan gimnastik diberi peluang mendapatkan latihan dan pendedahan yang sewajarnya tanpa sebarang sekatan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama PGNT pada Khamis.

Hadir sama, Presiden PGNT Abdul Razak Mat Amin serta ahli jawatankuasa persatuan dan ibu bapa atlet gimnastik.

Tambah Hannah, KBS turut bersetuju menyalurkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada PGNT melalui Majlis Sukan Negara yang bertujuan untuk menambahbaik peralatan sedia ada bagi membangun dan mengembangkan sukan gimnastik di Terengganu.

Izzah Azman antara gimnas negara yang pernah beraksi di kejohanan besar.

Selain itu, mesyuarat berkenaan membincangkan isu gimnas wanita Terengganu yang dilarang menyertai Temasya Sukan Malaysia disebabkan oleh garis panduan pakaian sukan yang telah ditetapkan dilihat bercanggah dengan garis panduan pakaian sukan yang lain seperti olahraga dan berbasikal.

Pada masa ini, gimnas wanita Terengganu memakai ‘unitard’ penuh badan. Peraturan Persatuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) membenarkan pemakaian yang menutup anggota tubuh badan kecuali tapak tangan dan tapak kaki.

Pakaian ‘unitard’ ini telah dipakai oleh ramai gimnas termasuk pasukan gimnastik wanita Jerman di Sukan Olimpik Tokyo. Malah bekas gimnas negara Izzah Azman juga telah memakai ‘unitard’ semasa penyertaan di Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham dan telah memenangi pingat untuk negara.