KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan.

Pelepasan cukai yang dicadangkan oleh kerajaan juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikut latihan sukan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS, perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan sendiri atau ahli keluarga dalam satu rumah.

“Jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan yang layak dituntut adalah seperti pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Selain itu, bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan, bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan; dan yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Sementara itu, untuk pelepasan bagi cukai yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024.

Antara kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai ialah latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.

Selain itu, jenis sukan yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] serta penyedia latihan merupakan persatuan, kelab sukan, syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.

Perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian juga antara kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai.

KBS juga menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini.