PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC hampir menemui jalan keluar daripada kemelut masalah tunggakan gaji pemain yang sedang menghantui pasukan Liga Super tersebut.

Pemilik majoriti Kedah FC, Tan Sri Daud Bakar, menyatakan bahawa pihak pengurusan telah berjaya mencapai dana sebanyak 90 peratus daripada jumlah yang diperlukan untuk melunaskan baki gaji tertunggak sebanyak 50 peratus.

Dengan hasil pencapaian yang agak baik itu, Kedah kini berada dalam peringkat akhir untuk menyelesaikan segala tunggakan kewangan tahun 2023 dan melunaskan tunggakan penuh sebelum 20 April 2024 bagi memenuhi syarat untuk mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

Tan Sri Daud Bakar dalam usaha untuk mencari baki dana sebanyak 10 peratus lagi.

“Di kesempatan ini, kami memohon bantuan peminat dan penyokong untuk bersama-sama membantu melengkapkan jumlah kewangan yang diperlukan sebelum 20 April melalui skim-skim yang akan ditawarkan seperti penjualan pas bermusim, kad keahlian, jersi pra-musim dan seumpamanya.

“Di peringkat kelab, kami amat berharap, semua pihak berkepentingan terutamanya penyokong dapat membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang kepada kelab.

“Sentiasalah membeli dan menyumbang kepada produk kelab melalui sokongan setiap usaha bermula pra-musim ini hingga bila-bila,” ujar beliau dalam sesi sidang media di Alor Setar pada Selasa.

Kedah kini masih perlu mencari baki 10 peratus untuk mengekalkan posisi mereka sebagai sebuah pasukan yang akan beraksi di Liga Super 2024-2025.

Pasukan Kedah masih boleh menarik nafas lega apabila pihaknya dapat melunaskan bayaran gaji pemain.

Bagaimanapun, Daud Bakar kekal optimis dalam usaha untuk mencukupkan baki 10 peratus daripada keseluruhan dana bagi melunaskan hutang yang membelenggu pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.

“Saya yakin baki 10 peratus itu boleh segera diselesaikan, kami juga sentiasa mempunyai back-up plan seperti pelan B, pelan C mahupun pelan D,” katanya.

Beliau yang mewakili kelab KDA FC turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas kerjasama, nasihat secara professional dalam mengatasi kemelut tunggakan gaji sehingga mereka mampu menyelesaikannya.