FOTO : KDA FC

KEDAH Darul Aman Football Club (KDA FC) menghela nafas lega apabila semalam mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan isu sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) baru-baru ini.

Berita ini tersebar melalui laman media sosial Asean Football, menyenaraikan KDA FC sebagai antara kelab yang dikenakan sekatan oleh Fifa untuk mendaftar pemain baharu.

Menurut kenyataan rasmi oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, walaupun berita ini bukan dikeluarkan melalui sumber rasmi kelab, isu ini telah memberi imej negatif kepada pentadbiran kelab.

“KDA FC mengambil maklum atas notis sekatan perpindahan pemain yang dikenakan Fifa ke atas kelab ini pada 4 Mac 2024. Sekatan ini melibatkan tuntutan bekas pemain import pasukan Kedah pada musim 2020 & 2021 yang berkaitan dengan rekod cukai pendapatan tertunggak pemain import.

“Walaupun beberapa proses rundingan telah diadakan, berlaku masalah teknikal penyelesaian yang mengakibatkan KDA FC dikenakan hukuman oleh Fifa, walhal pemain tersebut telah bebas sepenuhnya dari arahan sekatan perjalanan untuk perjalanan ke luar Malaysia,” katanya.

Shahrul berkata, isu teknikal ini telah diambil maklum oleh pihak FAM serta MFL dan pihak pengurusan kelab telah mengikuti dengan sewajarnya nasihat serta beberapa siri perbincangan diadakan bersama pihak yang terlibat.

“Satu kaedah persetujuan telah dicapai hari ini yang mana tuntutan dari pihak yang menuntut telah diselesaikan.

“Status sekatan perpindahan ini juga akan ditarik balik setelah pihak Fifa menerima maklumat terkini penyelesaian dari pihak menuntut bagi menarik balik sekatan dałam masa terdekat seterusnya KDA FC bebas membuat pendaftaran pemain baharu musim 2024/25,” katanya.