PENANTIAN untuk jersi baharu Kedah Darul Aman FC musim ini akan berakhir apabila ia akan dilancarkan pada 25 Julai ini secara digital.
Pemilik majoriti pasukan Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pelancaran itu akan dibuat menerusi laman media sosial Facebook rasmi kelab itu pada Khamis.
“Pelancaran awal secara digital dahulu, dan akan buat program-program secara fizikal pada esok harinya (26 Julai) menjelang perlawanan dengan Kuching City FC.
“Jadi, ramai-ramai nantikan pelancaran jersi ini dan datang ke Stadium Darul Aman untuk memberi sokongan kepada pasukan KDA FC,” katanya pada sidang media di Alor Setar.
Sebelum ini, Mohd Daud berkata kelab itu akan mengumumkan penaja utama bagi musim ini pada majlis pelancaran jersi baharu skuad Sang Kenari yang dijangka berlangsung pada awal Julai.
Dalam pada itu, beliau berkata kelab juga menerima maklum balas positif berhubung penajaan dan sedang dalam proses untuk memuktamadkan penaja yang berpontensi menjadi penaja pertama dan kedua dalam masa terdekat.
“Kita juga telah lancar pelbagai produk hasil kerjasama dengan syarikat-syarikat lain. Sambutan adalah baik tetapi saya masih kurang berpuas hati kerana KDA FC memerlukan sambutan yang hebat dari penyokong bagi membolehkan pendapatan yang mantap diperoleh bagi membantu kewangan kelab.
“Selepas ini akan ada banyak lagi produk yang kita akan lancarkan, antaranya minyak wangi, minuman air mineral, tudung dan skim takaful. Jadi, kita harap semua boleh tampil ke depan untuk membantu pasukan KDA FC,” tambahnya lagi.