PASUKAN Tajikistan muncul juara buat julung kali dalam Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Uniknya, salah seorang tonggak utama pemain Tajikistan adalah Amirbek Juraboev yang merupakan pemain import tengah Sang Kenari musim ini.

Dia mempamerkan aksi bertenaga dan cukup dominan di bahagian tengah sekali gus membantu pasukannya muncul juara edisi kali ini.

“Tenaga Amirbek untuk terus membantu Sang Kenari dalam baki empat perlawanan Liga Super pasti ditagih dalam memburu kedudukan ke-2 Liga Super, iaitu slot ke AFC Champions League 2 2024/2025,” menurut kenyataan rasmi kelab itu di Facebook.

Berdasarkan rekod, Amirbek juga berjaya menyumbat lima gol sepanjang penampilannya di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Sementara itu, peminat Hijau Kuning kagum dan berpuas hati penampilan ditunjukkan Amirbek bersama Tajikistan walaupun Harimau Malaya terpaksa menelan aib kekalahan di halaman sendiri.

Che Deng dalam hantaran menulis : “Padu Amirbek control tengah semalam.”

“Alhamdulillah.. Tahniah ada juga piala tahun ni untuk pemain KDA FC,” seloroh Aiman Sayuti.

Kedah yang tersingkir daripada semua kejohanan kalah mati hanya menumpukan baki Liga Super dan akan menanti kunjungan Negeri Sembilan FC di Alor Setar pads 28 Oktober depan.