KETUA jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui skuad kendaliannya tetap berdepan cabaran dan tekanan tinggi daripada Negeri Sembilan FC (NSFC), yang akan cuba bangkit selepas alami dua kekalahan sebelum ini.
Menurutnya, aksi Liga Super di laman sendiri tidak memberi jaminan dan kelebihan kepada Sang Kenari apatah lagi pernah kecewa dengan aksi sebelum ini walaupun bermain di Alor Setar.
“Kami perlu terus bekerja lebih keras dan bekerja keras untuk memastikan dapat mengutip tiga mata berharga.
“Kami tahu baki empat perlawanan liga adalah satu perjalanan ke arah matlamat kami untuk menduduki tempat kedua musim ini, dan tidak syak lagi bahawa aksi menentang NSFC ini adalah langkah penting untuk memastikan laluan kami tidak berliku,” ujarnya.
Menurut Nafuzi, dia merancang satu demi satu perlawanan dengan matlamat untuk menang sebelum memikirkan perlawanan seterusnya selepas ini.
“Jadi apa pun, kami perlu mendapatkan tiga mata penuh dalam aksi menentang NSFC ini sebagai laluan kepada tiga lagi pertembungan yang sangat penting dalam mencapai sasaran kami, iaitu tempat kedua liga musim ini,” katanya.
Selepas 22 perlawanan, KDA FC kini menghuni kedudukan ketiga Liga Super dengan 47 mata manakala NSFC di tangga kesembilan dengan mengumpul 21 mata.