PENANTIAN penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mengetahui siapa Ketua Jurulatih baharu Sang Kenari untuk saingan Liga Malaysia musim depan bakal apabila pihak pengurusan akan melakukan pengumuman itu hari ini.
Menerusi satu hantaran poster yang dimuatnaik oleh Facebook Kedah Darul Aman FC, kelihatan seorang lelaki memakai jaket tertera perkataan KDA FC.
Tidak pasti siapakah individu berkenaan yang bakal bersama kelab dari utara tanah air itu nanti.
Sementara itu, pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memberi gambaran ingin bertemu jurulatih baharu Kedah itu pada Selasa dalam satu Majlis Menandatangai MoU Rakan Strategik di House of Sang Kenari, Kompleks Alor Setar, Kanchut.
“Saya teruja ingin berjumpa dengan rakan-rakan warga kerja media. Saya juga teruja berjumpa dengan jurulatih Kedah FC yang baharu. Bagitu juga amat teruja dengan penyokong dan kelab penyokong Sang Kenari.
“Ini musim baru. Ini era baru. Ini pengembaraan baru. Ini juga jalan baru. New journey new path,” tulisnya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sebelum ini KDA FC memaklumkan hasrat menukar kesemua lima importnya pada musim ini dengan pemain import baharu sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.
Perkembangan ini menyaksikan kesemua pemain import yang beraksi musim ini iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr yang kontrak masing-masing tamat pada musim ini tidak disambung.