KELANTAN Darul Naim FC (KDN) hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan kekuatan penuh apabila semua pemain termasuk pemain-pemain baharu yang dibawa masuk bebas dari sebarang kecederaan.

Penolong jurulatih, Ashadi Yusoff menjelaskan barisan pemain Sang Kijang Emas dalam kondisi terbaik untuk berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dia berharap dengan situasi ini, mereka dapat memberikan saingan kepada Harimau Selatan.

“Seperti mana kita sedia maklum, JDT adalah sebuah pasukan yang sempurna di setiap posisi. Dengan keadaan pemain KDN FC dalam kondisi terbaik serta bebas dari kecederaan, kami harap dapat beri saingan sengit kepada mereka.

“Penambahan pemain baru import dan tempatan juga diharap dapat membantu kami beraksi lebih baik,” katanya.

Ashadi turut menekankan bahawa pemain yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua sebagai satu perkara penting bagi KDN FC dan perkara ini menjadi keutamaan oleh pengendali KDN, Park Jaehong.

“Kami harap segala dokumentasi telah diselesaikan dan kami harap dapat menurunkan mereka semua pada aksi penting dengan JDT,” jelasnya.

Skuad Sang Kijang Emas akan menjadi tuan rumah meskipun menggunakan Stadium Sultan Ibrahim kerana Stadium Sultan Muhammad IV dalam proses naik taraf sehingga pertengahan Oktober 2024.

Dalam pertemuan terdahulu dalam saingan Piala FA, Kelantan Darul Naim tewas 0-4 kepada JDT di gelanggang yang sama dan sudah pasti mereka tidak mahu perkara yang sama berulang kembali.