WALAUPUN hanya sementara, pasukan Kelantan Darul Naim II (KDN II) FC pastinya dapat meraih sedikit tonik semangat apabila berada di kedudukan teratas carta Piala MFL setelah mengejutkan Selangor FC pada saingan tempoh hari.

Jendela Piala MFL untuk minggu keempat kian tamat dengan menyaksikan pasukan dari tanah hujung itu berjaya menyambar tangga teratas, dan disusuli pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan kedua.

Menerusi laman rasmi KDN FC sendiri, mereka pastinya menganggap kedudukan ‘sementara’ itu sebagai satu berita gembira dan akan terus melakukan aksi kejutan untuk peminat pasukan.

“Hari gembira buat Kelantan Darul Naim FC, KDN FC II bangkit dari ketinggalan setelah mengejutkan Selangor FC 2-1 pada saingan Piala MFL 2024 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Isnin.

Kedudukan terkini pasukan dalam Piala MFL minggu keempat.

“Walaupun KDN FC II terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk menyamakan kedudukan, Wan Mohd Fazli berjaya memanfaatkan hantaran Asraff Aliffuddin Yasin dengan rembatan rendah ke gawang gergasi Merah Kuning.

“Wan Mohd Fazli terus menjadi duri dalam daging buat pelawat kerana sepakan kencang dari jarak 20.meter penyerang muda ini menuju deras ke gawang Selangor FC dan memberikan jaringan kemenangan buat KDN FC II pada minit ke-52.

“Dengan kejayaan diraih skuad kendalian Khairan Eroza Razali, KDN FC II melonjak sementara ke tangga teratas carta Piala MFL dan meneruskan rekod bersih tanpa kalah untuk perlawanan keempat berturut-turut,”menurut kenyataan yang dimuat naik oleh laman rasmi KDN FC.

KDN FC II yang kini berjaya mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan minggu keempat dan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah akan meneruskan rentak cemerlang pada saingan Piala MFL minggu seterusnya yang akan bermula kelak.