KELANTAN Darul Naim FC terus mengembangkan sayapnya dengan menjalin kerjasama bersama sebuah syarikat bola sepak dari Korea Selatan, CHS Football Korea.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu telah diadakan di Pejabat Urusan Kelab Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Selasa, dan diwakili oleh Presiden KDN FC Rozi Muhamad manakala CHS Football Korea oleh pemiliknya, Son Jin Young.

CHS Football Korea merupakan sebuah syarikat dari Korea Selatan yang mempunyai kelab yang sedang bersaing dalam K4 League, iaitu FC Sejong.

Susulan jalinan kerjasama yang termeterai itu, Rozi Muhamad melahirkan rasa gembira apabila melihat kemajuan kelabnya, secara tidak langsung bakal membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada KDN FC untuk memperluaskan lagi jenama kelab sehingga ke negara Pahlawan Taeguk.

KDN FC terus mengorak langkah ke hadapan untuk meningkatkan mutu bola sepak Kelantan.

Sementara itu, difahamkan juga bahawa kerjasama ini meliputi pelbagai perkara terutamanya menjadi salah satu usaha untuk membangunkan program pembangunan bolasepak dari peringkat akar umbi.

Lebih menarik lagi, antara intipati perjanjian kedua-dua pihak adalah dengan membuat pertukaran pemain bawah 20 tahun dan 23 tahun, selain mengadakan program ke Korea Selatan serta perkongsian ilmu dari segi latihan pemain dan para kejurulatihan.

Melalui perjanjian ini, semestinya pihak KDN FC berharap agar ia dapat meningkatkan lagi mutu industri bola sepak Kelantan dan mendorong kemajuan dalaman serta luaran kelab Kelantan Darul Naim.