WALAUPUN masih dalam kekecewaan kerana dibolosi enam gol kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari, tetapi masih ada sisi positif dari skuad utama Kelantan Darul Naim (KDN FC).

KDN FC yang bertandang ke Stadium Paroi untuk aksi Liga Super bersama Negeri Sembilan FC malam ini dijangka melakukan sedikit perubahan dalam barisan pemain.

“Difahamkan sedikit rombakan kesebelasan pemain oleh Park Jaehong akan berlaku kerana mereka meletak sasaran untuk merebut tiga mata.

“Debut pemain terbaru yang memberi banyak impak seperti Hakimi Abdullah serta Fikri Che Soh selain Aung Kaung Mann juga sudah semakin bersedia untuk beraksi sekali lagi pada pertemuan di arena Hobin Jang Hobin,” menurut kenyataan KDN FC.

Antara pemain import yang mungkin menjadi keutamaan di kesebelasan utama.

Sementara itu, awang import mereka Washington Brandao yang telah beraksi 45 minit serta menyumbangkan satu assist mungkin akan menjadi pilihan pertama pada aksi malam ini untuk digandingkan bersama Layth Kharoub.

Pemain seperti Ghaffar dan Kim mungkin kekal pilihan utama barisan pertahanan namun masih ada Afzal, Umeir, Hafizal atau Irwan Syazmin setelah mereka sering mendapat tempat dalam sistem rotasi pemain.

Pemain simpanan lain seperti Asraff Aliffuddin, Fazrul Amir, Muhammad, Mior atau Zuasyraf mungkin boleh menyelitkan nama dalam kesebelasan pemain selain Syahir yang berkemungkinan terus diberikan kepercayaan berganding bersama Oday di bahagian tengah.

Walau apapun, Park Jaehong yang akan membuat keputusan akhir mengenai siapa yang akan beraksi di Paroi kerana dia telah menilai pemain yang dijangka mampu mengutip mata sekali gus menyekat pihak lawan yang turut mahukan tiga mata setelah melakukan beberapa perubahan pada jendela perpindahan pemain yang berakhir, tiga hari lalu.