PEMBANTU jurulatih Kelatan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya percaya pemain Kelantan Darul Naim FC sudah menunjukkan peningkatan biarpun tewas 1-0 kepada Kuching City FC dalam saingan Liga Super 2024/25 di Stadium Negeri, Sarawak, malam tadi.

Mengulas kekalahan terbaru Sang Kijang Emas itu, Rezal Zambery tetap memuji corak persembahan pemain terutamanya apabila mereka menunjukkan permainan positif serta dapat menguji gawang tuan rumah dengan asakan demi asakan.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Kuching City FC, Shahril Saari menafikan beberapa cubaan tepat Kelantan Darul Naim FC menyebabkan mereka terpaksa akur tumbang dengan jaringan tipis.

Rezal melihat permainan anak buahnya makin meningkat walaupun tewas. (Sumber Gambar: KDN FC)

“Kami telah menunjukkan sesuatu yang positir, saya gembira pemain telah melakukan banyak peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini.

“Ya, penjaga gol mereka menafikan beberapa cubaan tepat dan jelas kami tidak bernasib baik.

“Saya percaya jika kami mengekalkan keadaan ini, kami dapat memberikan sesuatu kepada KDN FC pada perlawanan selepas ini,” katanya selepas perlawanan.

Terdahulu, Rezal Zambery yang mengantikan Park Jaehong yang tidak dapat hadir ke Sarawak kerana masalah teknikal ditundukkan dengan jaringan tunggal tuan rumah menerusi tandukan jarak dekat Jordan Mintah pada minit ke-37 separuh masa pertama.

Ternyata gol Jordan Mintah menjadi perbezaan dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun pemain Kelantan Darul Naim FC berusaha memberi tekanan sehingga ke minit terakhir perlawanan.