KELANTAN Darul Naim (KDN) FC mengumumkan harga tiket bagi tempat duduk terbuka perlawanan pertama Liga Super menentang Sabah FC di Kota Bharu diturunkan kepada RM10.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata menyatakan perkembangan terbaharu itu sekali gus menarik minat penyokong Kelantan hadir berama-ramai ke Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
“Sempena perlawanan pertama di gelanggang sendiri saingan Liga Super 2024/25 menentang Sabah FC pada hari Jumaat, 17 Mei ini, harga tiket bagi tempat duduk terbuka berharga RM15 diturunkan kepada RM10
“Penurunan harga ini adalah salah satu tanda penghargaan serta rasa terima kasih Presiden dan barisan kepimpinan kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDNFC) kepada semua penyokong yang mendukung perjuangan Sang Kijang Emas dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini,” menurut kenyataan rasmi media KDN FC pada Isnin.
Sehubungan itu, KDN FC menjemput dan mengalu-alukan semua peminat serta penyokong bola sepak Kelantan untuk hadir beramai-ramai memenuhkan tempat duduk stadium seterusnya memberi sokongan padu kepada anak buah Park Jaehong pada perlawanan tersebut.
Sementara itu, penjualan tiket astaka kekal dengan harga RM25.
“Manakala kanak-kanak bawah 10 tahun masuk percuma tempat duduk terbuka dan pemegang kad OKU yang sah dibenarkan masuk percuma bersama seorang pengiring di tempat duduk terbuka.
“Jualan awal tiket fizikal bermula Khamis, 16 Mei 2024 di Kedai Merchandise KDNFC dari jam 12 tengahari hingga 10.30 malam.
“Jualan tiket online akan dibuka pada hari esok, Selasa 14 Mei 2024 jika tiada aral melintang,” katanya lagi.