SUSULAN pengumuman tergempar penarikan diri kelab Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) dalam saingan Liga Super musim hadapan, pemain kini sudah pasti merasai perasaan bercampur baur.
Lega kerana segala teka teki akhirnya selesai, namun gusar andai tiada kelab menawarkan sebarang tawaran baik untuk kelangsungan karier setiap pemain PJ City FC.
Antara nama besar kelab tersebut sudah semestinya Darren Lok yang merupakan seorang penyerang berbakat besar dan mampu meledak jaringan menarik.
Dalam kelompok pemain tempatan, Darren kelihatan berada selangkah di hadapan apabila tersenarai sebagai penjaring terbanyak tempatan dalam saingan Liga Super yang baru sahaja berakhir.
Selain itu, beberapa nama lain yang turut menjadi tonggak kepada kelab tersebut adalah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz serta dua pemain di bahagian hadapan iaitu V. Ruventhiran dan Kogileswaran Raj.
Lebih manis apabila mereka turut mendapat perhatian jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan-gon yang menyenaraikan mereka dalam panggilan skuad kebangsaan sebelum ini.
Soalnya, ke manakah hala tuju mereka selepas ini? Sudah pasti pemain sedang menunggu tawaran dari kelab lain untuk mengambil mereka menyertai pasukan masing-masing.
Tetapi bagaimana pula dengan pemain lain, nama yang kurang dikenali di PJ City FC?
Adakah mereka juga bakal ditawarkan peluang beraksi bersama kelab lain atau hanya terpinggir setelah PJ City FC mengumumkan penarikan diri dari kancah Liga Super musim hadapan.
Segala persoalan ini hanya bakal terjawab setelah jendela musim hadapan bermula. Di situ, kita dapat lihat berapa jumlah pemain yang akan diserap bersama pasukan lain serta bilangan pemain yang akan berehat panjang.
Diharapkan semuanya berjalan dengan lancar buat pemain dan kelab PJ City FC dalam mencorakkan langkah terbaik menentukan masa hadapan pasukan dan pemain.