SELEPAS aksi kemenangan 4-2 ke atas India dalam aksi Pestabola Merdeka 2023, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon tampil memberi komen mengenai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menjadi sebutan ketika ini.
Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, keadaan padang malam tadi adalah biasa berlaku bagi padang baharu (rumput).
“Memang perlukan masa dan kami sudah jangka keadaan seperti ini. Saya percaya, semua pihak yang terlibat sedang bekerja keras dari semasa ke semasa. Saya rasa, kita perlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah ini.
“Apa pun, padang rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ ini adalah lebih baik daripada padang jenis ‘Cow Grass’ yang kita gunakan sebelum ini. Memang ia belum siap sepenuhnya, tapi kita ada Pestabola Merdeka 2023 ini.
“Saya rasa dengan proses berterusan selepas ini, satu hari nanti, kita mahu melihat padang ini akan menjadi salah satu padang yang terbaik di rantau Asia Tenggara,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Pan-gon turut meluah penghargaan kepada pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengeluarkan perbelanjaan untuk rumput baharu ini.
“Sekali lagi, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas sokongan beliau dalam merealisasikan padang yang cantik ini dan juga pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang mengambil tanggungjawab untuk menyokong usaha ini.
“Yang penting, kita dapat juga beraksi dengan baik dan berjaya menewaskan India 4-2, seterusnya layak ke Final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada Selasa ini.
“Sokongan daripada penyokong Harimau Malaya diperlukan untuk menaikkan lagi semangat dan motivasi pemain, Selasa ini!,” tambahnya.
Pada aksi semalam (Jumaat), isu padang menjadi topik utama bualan peminat-peminat bola sepak tanah air apabila kelihatan rumput tercabut dan pemain-pemain serta pengadil terpaksa ‘mengemaskan’ kembali kedudukan rumput itu.