PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berharap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menerajui dunia bola sepak di atas kebijaksanaan yang dimiliki.

Buktinya, kejayaan Johor Darul Ta’zim merangkul gelaran Liga Super kali kesembilan berturut-turut serta pelbagai siri kejayaan manis dan miliki stadium sendiri bertaraf dunia adalah petunjuk kegemilangannya sejak melakukan transformasi kelab pada penghujung tahun 2012.

Melalui hantaran sama yang dikongsi di laman rasmi Instagram beliau, Daud juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat ulang tahun kepada TMJ sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda.

“Patik mengambil kesempatan merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-39 pada 30 Jun 2023.

“Didoakan agar Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tunku dianugerahkan kesihatan dan keafiatan yang berkekalan serta kebijaksanaan dan hikmah yang tinggi dalam segala dimensi kehidupan dan kepimpinan khususnya dalam landskap dan bandwidth bola sepak nasional dan antarabangsa.

“Sembah takzim dan tahniah disulami doa kepada Allah Yang Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu,” katanya dalam hantaran tersebut,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata penyokong mendoakan agar ukhuwah yang terjalin antara dua sosok hebat itu berkekalan dan mengagumi sifat saling menghormati antara mereka.

“Moga tali silaturrahim diutuhkan antara Tan Sri bersama TMJ. Saya mendoakan setiap kebaikan kepada Tunku bersama Tan Sri. Aminn,” komen dari pemilik akaun bernama Jan Fadzli.

“Terbaiklah dua pemilik kelab di Malaysia ini. Mereka saling menghormati,” komen dari pemilik akaun bernama Khairul Anuar Abdullah.

Ifedayo Olusegun. Sumber gambar: Instagram KDA FC

Sebagai info, KDA FC baru-baru ini mengumumkan dua pemain baharu dipanggil masuk sekali gus dapat membantu pasukan tersebut untuk berjuang dalam baki perlawanan pada musim ini.

Moses Atede Jona. Sumber gambar: Instagram KDA FC

Pihak pengurusan KDA FC telah memanggil dua pemain baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede Jona.