KECEDERAAN Azam Azmi Murad ketika aksi perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman baru-baru ini menyebabkan dia terpaksa berehat lebih kurang dua bulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sabri Abbas berkata pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mengalami kecederaan serius Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan kini dalam proses pemulihan.
“Walaupun Azam Azmi berstatus sebagai pemain pinjaman dari JDT, dia sememangnya berada di bawah pasukan Terengganu FC.
“Memang sudah menjadi tanggungjawab Terengganu FC untuk memastikan dia pulih walaupun kecederaannya tidaklah begitu serius tetapi memerlukan rehat sekurang-kurangnya enam ke lapan minggu.
“Jadi harapan kami semoga Azam Azmi segera pulih dan akan beraksi di awal musim nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Persefahaman 2024/25 antara TFC dan Vearich International Sdn Bhd.
Kecederaan yang dialami oleh Azam itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi sebelum ini dalam kalangan penyokong apabila dikhuatiri dia mengalami kecederaan yang serius seperti ACL sekaligus menyebabkannya tidak dapat mempamerkan aksi terbaik liga musim ini.