BEK kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad, terpaksa melupakan seketika pusingan awal Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila kembali dihantui kecederaan buku lali.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, kecederaan itu merupakan kesan dialami Azam Azmi yang tercedera ketika beraksi untuk Malaysia menentang Oman, 26 Mac lalu.

Menurut Steinbruckner, dia menjangkakan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terpaksa disisihkan daripada latihan untuk tempoh yang agak panjang sebelum kembali pulih 100 peratus.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner

“Ini adalah kecederaan sama dialami Azam Azmi ketika menyarung jersi kebangsaan pada Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Mac lalu di permukaan padang yang kurang baik.

“Terdapat isu melibatkan retakan tulang di buku lali dan pegawai perubatan masih belum membuat keputusan untuk menjalani pembedahan atau proses penyembuhan secara tradisional.

“Jadi Azam Azmi mungkin berehat panjang sebelum dibenarkan kembali menyertai sesi latihan bersama rakan-sepasukan namun saya berharap dia segera pulih,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Kecederaan Azam Azmi bukan ACL, rehat lebih kurang dua bulan

Azam Azmi alami kecederaan ketika menentang Oman dalam kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Pada 26 Mac lalu, Azam Azmi menjadi mangsa permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila mengalami kecederaan sehingga terpaksa dikeluarkan pada awal permainan.

Namun kelibatnya kembali melegakan kem TFC dan penyokongnya setelah dilihat menjalani latihan pramusim bermula April lalu sebelum kecederaan sama tersebut berulang.

“Hanya penjaga gol, Mohd. Suhaimi (Husin) dijangka kembali memperkuatkan pasukan dari senarai kecederaan bagi bertemu Penang FC, Ahad ini, manakala tiga lagi masih tercedera.

“Selain Azam Azmi, turut diketepikan sekurang-kurangnya selama sebulan ialah bek tengah, Matthew Steenvoorden yang baru menjalani pembedahan dan Ivan Mamut,” tambahnya.