KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac mengakui anak-anak buahnya sudah memberikan sepenuhnya ketika tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-5 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kuljanac turut menyatakan kualiti yang ada pada keseluruhan skuad JDT menjadi pemisah antara pasukannya meskipun berjaya mengimbangi Harimau Selatan pada babak pertama.

Keadaan pasukannya yang dilanda kecederaan juga menyebabkan dia terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam perlawanan sekaligus membuka ruang buat JDT untuk menghukum.

Meskipun tewas, Kuljanac tahu para pemainnya sudah memberikan segala-galanya

“Perlawanan yang sukar tetapi pemain sudah bagi segalanya. Kami berjaya saingi mereka pada babak pertama dan selepas mereka jaringkan gol ketiga segalanya berubah buat kami.

“Kami mempunyai ramai pemain yang tercedera dan saya perlu melakukan sesuatu dan kami tidak bernasib baik hingga terpaksa melakukan pelbagai formasi dalam perlawanan ini dan semua tahu JDT mempunyai pemain yang lebih berkualiti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kuljanac bagaimanapun memuji persembahan penjaga golnya, Azri Ghani yang banyak menyelamatkan percubaan JDT bagi mengelakkan kekalahan lebih besar buat pasukannya.

Paulo Josue menjaringkan penalti pada penghujung babak pertama

Kuala Lumpur City berjaya membolosi gawang Syihan Hazmi menerusi penalti Paulo Josue selepas Haqimi Azim dijatuhkan namun tidak dapat menahan asakan berterusan serangan JDT dan terpaksa menerima hakikat kekalahan pertama musim ini.